Lama sangat rasanya tidak menemui para pengunjung yang budiman. Pelbagai kesibukan merebut waktu, namun selepas Belanjawan 2011 diumumkan kepada rakyat, terpanggil perasaan untuk berkata sesuatu. Belanjawan ini merupakan langkah awal untuk melakukan transformasi ekonomi melalui Model Ekonomi Baru (MEB).
Melalui pelbagai pendekatan serta seruan :1 Malaysia; Transformasi Ekonomi; Transformasi Penjawat Awam; NKRA; kreativiti dan transformasi etc, kerajaan merancang untuk melonjakkan negara kepada suatu tahap negara yang berpendapatan tinggi pada 10 tahun akan datang.
Dari segi tujuan kita patut sambut dan sokong impian dan langkah-langkah ini kerana ia bertujuan memperbaiki taraf ekonomi rakyat, menjadikannya adil dan bersatu padu, dan negara maju di Asia pada tahun 2020. Tetapi, tetapi perlu diterima dengan kewaspadaan bahawa :
i) Perubahan/transformasi ekonomi dan sosial akan merombak status quo dan menggoncang nilai-nilai , sikap dan gaya hidup yang biasa. Kesannya boleh menjadi positif (spt yang diimpikan); boleh juga negatif apabila moral/akhlak, etika, dan adab sopan berkemungkinan menjadi buruk ( spt kebebasan melulu, perebutan jawatan, ketagihan arak, seks, zina, dadah, jenayah rasuah, pembunuhan, rompakan etc).
ii) Perpaduan dan perhubungan antara Melayu, Iban, Kadazan, Cina, Indian, Jafna, Sikh; Islam, Kristian, Budis, Hindu, animisme, Bahai, etc jangan sampai meminggirkan peruntukan-peruntukan asas Perlembagaan Persekutuan tentang kedudukan bahasa kebangsaan, agama Islam, hak-hak keistemewaan orang Melayu, kedudukan raja-raja dan lain-lain yang penting kerana setiap negara yang berdaulat harus tegak di atas suatu perlembagaan yang dikembangkan daripada sejarahnya, baik bertulis atau tidak.
iii) Kemajuan negara tidak boleh menafikan tradisi, kebudayaan, dan
lokasi alamnya bagi memberikannya watak, jati diri dan etos yang khas sebagai suatu pribadi yang berdaulat. Dalam hubungan Malaysia, ia harus tegak sebagai kuasa ekonomi baru Asia yang berdiri di tengah-tengah dunia Melayu Nusantara sejak ribuan tahun dahulu. Malaysia bukan Amerika, Eropa, Cina Rusia atau Jepun yang juga negara maju di dunia.
Antara strategi kerajaan untuk melonjakkan ekonomi dan masyarakat ke tahap yang lebih tinggi, ialah dengan memberikan peranan lebih besar kepada sektor swasta, sambil sektor awam lebih menjadi pemangkin dan pemudah cara. Hakikat ini juga perlu diperhatikan kerana yang lebih penting bagi dunia korporat ialah keuntungan asset; dan turun naik ekonomi Amerika, Eropa, Cina dan Jepun boleh juga melahirkan kesan tidak stabil bagi negara .
Tegasnya sambil membina harapan tinggi terhadap impian yang besar, rakyat tidak boleh tidak, harus berwaspada dan tidak menyerahkan segala kepercayaan tanpa fikiran kritis.
Masa depan itu adalah masa depan anak-anak dan keturunan kita. Rakyat harus lebih bersedia untuk menghadapi persaingan lebih hebat, asakan global yang semakin kuat, dan fragmentasi sosial budaya di muka kegiatan perniagaan dan perdagangan yang bertambah besar.
Apa-apa pun kita tak boleh menolak perbubahan; hanya kita jangan direbahkan oleh perubahan
No comments:
Post a Comment