Baru sahaja selesai mendengar ucapan YAB Dato' Sri Najib di Perhimpunan UMNO. Jelas, lantang, lancar dan pada sesetengah tempat berapi-api. Kenapa agak luar biasa ?
Orang boleh memberi pelbagai tafsiran dan jawapan. Bagi saya ia seolah-olah menjawab pendapat-pendapat saya dalam blog ini, mahupun dalam tulisan-tulisan lain. Tanpa prejudis memihak pada mana-mana parti politik, saya telah menyatakan banyak kali bahawa orang Melayu sudah semakin pupus kepercayaannya terhadap UMNO sebagai memperjuangkan kepentingan serta nasib majoriti Melayu, kecuali untuk kumpulan dan fraksi sejumlah kecil kawan-kawan sesama UMNO sahaja. Baik dalam pengagihan kekuasaan, jawatan, peluang, kemudahan perniagaan , harta benda etc. kekuasaan politik itu banyak memanfaatkan mereka yang di dalam kelab UMNO.
Dalam hal kebudayaan, agama, sosial, dan pendidikan dibiarkan berkembang dengan seadanya sahaja tanpa strategi serta pelaksanaan yang baru atau berimpak tinggi. Sampai pada satu ketika, Bahasa Melayu pun diremehkan martabatnya dalam pendidikan nasional sehingga saya menuduh pemimpin politik Melayu yang berkuasa seolah-olah menjadi pagar yang membawa runtuh dan pagar yang makan padi.
Dengan tanggapan yang seperti itu di kalangan masyarakat Melayu, UMNO tidak lagi boleh diharapkan untuk membela masa depan Melayu. Saya percaya ramai pemimpin tinggi UMNO menginsafi akan hakikat ini selepas dilanda teruk pada pilihan raya 2008. Oleh itu mereka misti melakukan sesuatu yang tegas dan jelas untuk memenangi semula kepercayaan majoriti Melayu , kerana majoriti Melayu itulah ( terutama di luar bandar ) yang mengekalkan calon Barisan Nasional ( Melayu, Cina, India) di kerusi Parlimen. Undi daripada penduduk kawasan bandar: Cina, India termasuk juga Melayu , tidak boleh dipercayai akan mengundi BN.
Nampaknya ucapan Presiden UMNO, Dato' Sri Najib, pada hari ini bertujuan mengembalikan kepercayaan ahli-ahlinya, dan juga Melayu di luar partinya, untuk menaruhkan semula harapan kepada UMNO. Saya percaya dia berjaya untuk membuka kembali minat serta hati bangsanya.
Dalam waktu yang sama Najib bersuara lebih jelas mengingatkan kaum lain tentang hakikat sejarah yang bertujuan memberi amaran kepada mereka supaya lebih bijaksana agar bersuara wajar sewaktu menuntut hak-haknya tanpa melanda semangat serta peruntukan-peruntukan asas Perlembagaan. Dalam aspek ini pun rasanya Najib memenangi satu mata tambahan atau point lagi.
Jadi nampaknya pandangan saya pada masa lalu tidak meleset, yakni kalau UMNO hendak kembali berkuasa , UMNO mesti bersuara semula secara affirmatif berjuang untuk bangsa Melayu dalam rangka kebijaksanaan kebangsaan yang adil serta saksama, seperti yang diberikanya contoh daripada sirah nabi sewaktu di Madinah [ Rujuk: Piagam Madinah, perlembagaan pertama yang bertulis dalam sejarah dunia]
Apakah sudah cukup dengan hanya bersuara semula secara affirmatif?
Tentu belum.
Kita tunggu cara-cara pelaksanaannya; hasil dan pengagihan program pembangunan negara dari segi sosio-ekonomi; dan penerapan roh Islam dalam pelbagai lapangan kenegaraan ( kewangan, perniagaan, pendidikan, kebudayaan, pentadbiran awam, dan kemasyarakatan).
Sebagai langkah pertama kita tunggu hasil daripada dasar dan pelaksanaan BelANJAWAN 2011. Sejauh mana hasilnya merakyat , terutama di desa-desa dan di kalangan rakyat biasa yang majoriti; bukan mengutamakan elita, penjawat awam, dan penghuni di kota yang sebenarnya tak memepedulikan sangat di mana mereka mencampakkan undinya dalam pilihanraya (yang berkemungkinan akan diadakan tidak lama lagi).
Saura hati Datuk, juga suara rakyat Melayu keseluruhannya.Kerapkali dilaungkan sahut bersahut bagaikan pungguk memuja bulan.
ReplyDeleteHarapkan purnama melimpahkan air pasang yang membawa redzeki...atau cuma sebagai pancaran kemewahan yang sukar dicapai tangan yang sering menggapai.
hanya akan tercapai jika pemimpin pemimpin UMNO sekarang tukar cara perjuangan macam pemimpin pemimpin UMNO terdahulu....
ReplyDeletecuba pastikan media arus perdana diminati... bukan lagi dibenci....
Sdr 'Adly , dan OMARA,
ReplyDeleteMemang kita semua berharap siapa saja pemimpin politik yang menguasai kerajaan, baik Persekutuan mahupun negeri, semacam bersumpah untuk ikhlas dan jujur mrmbrri kesejahteraan kepada penduduk dan memperkuat keselamatan negeri dan negara.Jangan berada dalam keadaan berbelah bagi antara hendak berkhidmat untuk orang lain dengan keinginan untuk kaya raya sesama sendiri. Setiap kebaikan sebesar zarah pun untuk orang lain , Tuhan akan beri ganjaran atau kemudahan tak di dunia atau di akhirat.Semua pemimpin tahu, tetapi sangatlah susah dan payahnya untuk mengamalkannya kerana nafsu, godaan dunia dan ujian iman.Kita tabiklah kepada pejuang-pejuang nasionalis pramerdeka spt Burhanuddin Helmi, Zulkifli Muhamad, Ishak Hj Muhammad, Boestamam, Onn Jaafar etc.